Aku
Sebuah Kereta
Kategori:Penulisan UPSRAku sebuah kereta buatan Malaysia. Aku bernama Proton Gen – 2. Aku dilahirkan dan dipasang di sebuah kilang kereta di Shah Alam, Selangor. Tubuhku yang berwarna biru metalik diperbuat daripada pelbagai bahan seperti besi, keluli, getah dan cermin antirelai. Aku turut dilengkapi dengan tali pinggang, beg udara dan sistem penggera untuk tujuan keselamatan.
Setelah lulus pandu uji, aku dihantar ke bilik pameran Proton di Bukit Rahman Putra. Aku dipamerkan bersama kereta – kereta keluaran Proton yang lain seperti Satria, Saga dan Savvy. Selang beberapa minggu, seorang perempuan bernama Tania tertarik denganku. Suaminya membeliku sebagai hadiah ulang tahun kelahirannya.
Bermulalah kehidupanku yang baru. Kendatipun sedih kerana terpaksa berpisah dengan rakan – rakanku di bilik pameran, aku bertekad akan berkhidmat dengan cemerlang untuk tuanku. Tania menggunakan aku untuk ke pejabat, ke pusat membeli belah dan ketika membuat urusan harian yang lain.
Tuan aku sangat sayang akan diriku. Aku dijaga ibarat
menatang minyak yang penuh. Tania akan memanduku dengan cermat dan menjagaku dengan rapi. Malah aku dimandikan seminggu sekali dengan syampu bermutu tinggi.
Malang tidak berbau, suatu hari aku dan Tania terlibat dengan sebuah kemalangan jalan raya. Sebuah kereta terbabas dan merempuhku. Tania gagal mengawal sterengku lalu melanggar pembahagi jalan. Aku menjerit kesakitan. Badanku kemek teruk manakala enjinku rosak. Aku ditarik menggunakan sebuah kereta tunda ke bengkel untuk dibaiki.
Tania dikejarkan ke hospital. Mujurlah tuanku tidak cedera parah namun Tania mengalami trauma. Tuanku takut untuk memandu lagi kerana bimbang akan terlibat dengan kemalangan lagi. Kini, Tania lebih gemar menaiki teksi untuk ke mana – mana. Aku tidak lagi dihampirinya. Aku berasa kecil hati kerana dibiarkan begitu sahaja di garaj kereta. Perasaanku terguris laksana kaca terhempas ke batu.Aku berdoa agar satu hari, Tania akan memanduku semula.

No comments:
Post a Comment