Saturday, 14 July 2012

LATIHAN KEFAHAMAN 2


Baca petikan di bawah, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

             Menghormati orang tua bukan sahaja bermaksud kepada ibu dan bapa sahaja, malahan meliputi semuanya bagi orang yang lebih tua atau orang lebih berusia daripada kita. Mereka ini wajar kita hormati kerana merekalah yang lebih dahulu lahir ke dunia ini daripada kita. Mereka juga adalah orang yang dahulu mengalami pengalaman hidup. Kita sebenarnya membina penghidupan yang lebih sempurna daripada pengalaman mereka.
                Remaja sekarang cukup rajin, inovatif dan kreatif serta bijak dalam menentukan hala tuju penghidupan mereka. Ramai remaja kita yang berjaya dalam pelajaran dan mendapat jawatan tinggi. Namun ada segelintir yang terlalu daif dalam bidang didikan rohani. Akibatnya mereka menjadi anak yang sombong dan tidak menghiraukan lagi orang tua mereka. Jika ada yang memberi perhatian pun, hanya sekadar memberi wang saku pada setiap bulan dan menyediakan sedikit kemudahan.
                Warga tua sebenarnya tidak memerlukan wang ringgit yang begitu banyak. Apa yang mereka perlukan sekali adalah perhatian dan belaian kasih sayang serta penghormatan daripada anak-anak. Jenguk-jenguklah mereka di kampung. Jika tidak ada masa sekalipun untuk menjenguk, hubungilah mereka melalui telefon. Sekurang-kurangnya tersisip di hati dan perasaan mereka bahawa masih ada anak-anak mereka prihatin terhadap mereka.
                Kita juga mesti ingat bahawa warga tua sangat sensitif walaupun kadangkala perkara itu terlalu remeh. Apabila perasaan mereka tersentuh atau terluka, memakan masa lama untuk mereka melupakan perkara tersebut. Hal seperti ini adalah perkara biasa bagi mereka kerana mudah tersentuh perasaan. Untuk itu, adalah menjadi tanggungjawab kita menggembirakan mereka agar mereka melayari penghidupan ini dengan penuh keceriaan dan kegembiraan di samping anak-anak yang memahami dan mengerti diri mereka.
            Menghormati orang tua sebenarnya merupakan asas keperibadian golongan remaja. Hal ini jelas kerana bimbingan kerohanian seperti itu akan dapat menjamin kebahagiaan hidup. Kita akan menjadi seorang insan yang sempurna dari segi akhlak dan peribadi. Kita akan menjadi terhormat dan lebih dihormati. Walaupun cerita-cerita legenda seperti Si Tanggang dan Malim Kundang mengingatkan kita kisah seorang anak yang derhaka sudah lama berlaku, namun tidak ada ruginya untuk mengimbasnya kembali untuk dijadikan sebagai sempadan dan teladan.

 1.         Cara terbaik menunjukkan rasa hormat kita kepada
             orang tua ialah kita perlu sentiasa....
            A.  memberi duit yang secukupnya atau berlebihan.

            B.  menghubungi dan memahami perasaan mereka.

            C.  membelikan apa-apa sahaja barang seperti telefon.

            D.  membawa mereka ke tempat yang belum pernah
                 dilawati.

 2.         Apakah perkara utama yang diingini oleh orang tua
             daripada anak-anak mereka?

             A.  perhatian dan kasih sayang                       

             B.  harta dan kemewahan hidup

             C.  cucu dan keturunan yang ramai

             D.  membayar semua perbelanjaan

 3.         Pernyataan yang berikut adalah benar tentang sikap
             orang tua, kecuali

            A.  mudah berasa bangga jika diberi perhatian

            B.  tidak mudah melupakan sesuatu perkara jika
                 tersentuh

            C.  mudah berkecil hati jika anak tidak memberi mereka
                  wang

            D.  perasaan mereka mudah tersentuh meskipun pada
                  perkara kecil

4.         Perkataan wang saku bermaksud..................

             A.  duit belanja                              

            B.  upah kerja

           C.  gaji bulanan

           D.  duit simpanan

 5.         Pada pendapat kamu, apakah yang menyebabkan
             cerita  Si Tanggang perlu dijadikan pengajaran?

           A.  Balasan yang diterima dalam cerita tersebut amat
                 mengerikan.

            B.  Pada masa kini sudah terlalu ramai yang bersikap
                 seperti Tanggang.

            C.  Agar kaum ibu jangan terlalu mudah menyumpah
                  anak-anak mereka.

            D.  Cerita tersebut menunjukkan betapa pentingnya
                  menghormati ibu kita.




No comments:

Post a Comment