Thursday 26 July 2012

Latihan Bacaan 2



Sekolah Saya 
          Ini sekolah saya.  Nama sekolah saya ialah Sekolah Kebangsaan Gadong Jaya.  Sekolah saya besar dan cantik.  Di sekolah saya ada taman bunga.
          Di taman bunga sekolah saya ada pokok kenanga, teratai, kiambang, tudung periuk, dan lain-lain lagi.  Di sekolah saya juga ada taman haiwan.  Di taman haiwan terdapat bangau, tupai, ikan kaloi, dan lain-lain lagi.

Wednesday 25 July 2012

Latihan Bacaan 1



                         
Berkelah Di Pantai

           Ini Iskandar dan keluarganya.  Mereka berkelah di tepi pantai pada hujung minggu.  Mereka membawa bekalan makanan dan minuman.  Iskandar dan adik-adiknya berenang sambil bermain bola.  Apabila lapar mereka menjamu selera.  Mereka gembira berkelah di pantai.  Setelah hari petang merekapun pulang. 












Video 2: Tonton dan jawab soalan-soalan berikut.



1.  Apakah pesanan Kak Ros kepada Upin dan Ipin?
2.  Siapakah nama kawan-kawan Upin dan Ipin?
3.  Apakah makanan kegemaran Upin dan Ipin?
4.  Mengapakah Upin dan Ipin tidak boleh makan?
5.  Apakah yang dilakukan oleh Upin dan Ipin
     sementara menunggu waktu berbuka?

Wednesday 18 July 2012

Video 1: Tonton dan jawab soalan-soalan berikut.



 1.  Siapakah yang menjaga murid perempuan itu
      sejak kecil?
 2.  Siapakah yang mengajar murid perempuan itu
      erti kegigihan?
 3.  Apakah yang perlu diucapkan semasa kita
      menerima pemberian?
  4.  Apakah perkara yang menyentuh perasaan
       murid perempuan itu semasa dewasa?
  5.  Sebutkan dua nilai murni yang terdapat dalam
       video di atas?

Saturday 14 July 2012

LATIHAN KEFAHAMAN 2


Baca petikan di bawah, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

             Menghormati orang tua bukan sahaja bermaksud kepada ibu dan bapa sahaja, malahan meliputi semuanya bagi orang yang lebih tua atau orang lebih berusia daripada kita. Mereka ini wajar kita hormati kerana merekalah yang lebih dahulu lahir ke dunia ini daripada kita. Mereka juga adalah orang yang dahulu mengalami pengalaman hidup. Kita sebenarnya membina penghidupan yang lebih sempurna daripada pengalaman mereka.
                Remaja sekarang cukup rajin, inovatif dan kreatif serta bijak dalam menentukan hala tuju penghidupan mereka. Ramai remaja kita yang berjaya dalam pelajaran dan mendapat jawatan tinggi. Namun ada segelintir yang terlalu daif dalam bidang didikan rohani. Akibatnya mereka menjadi anak yang sombong dan tidak menghiraukan lagi orang tua mereka. Jika ada yang memberi perhatian pun, hanya sekadar memberi wang saku pada setiap bulan dan menyediakan sedikit kemudahan.
                Warga tua sebenarnya tidak memerlukan wang ringgit yang begitu banyak. Apa yang mereka perlukan sekali adalah perhatian dan belaian kasih sayang serta penghormatan daripada anak-anak. Jenguk-jenguklah mereka di kampung. Jika tidak ada masa sekalipun untuk menjenguk, hubungilah mereka melalui telefon. Sekurang-kurangnya tersisip di hati dan perasaan mereka bahawa masih ada anak-anak mereka prihatin terhadap mereka.
                Kita juga mesti ingat bahawa warga tua sangat sensitif walaupun kadangkala perkara itu terlalu remeh. Apabila perasaan mereka tersentuh atau terluka, memakan masa lama untuk mereka melupakan perkara tersebut. Hal seperti ini adalah perkara biasa bagi mereka kerana mudah tersentuh perasaan. Untuk itu, adalah menjadi tanggungjawab kita menggembirakan mereka agar mereka melayari penghidupan ini dengan penuh keceriaan dan kegembiraan di samping anak-anak yang memahami dan mengerti diri mereka.
            Menghormati orang tua sebenarnya merupakan asas keperibadian golongan remaja. Hal ini jelas kerana bimbingan kerohanian seperti itu akan dapat menjamin kebahagiaan hidup. Kita akan menjadi seorang insan yang sempurna dari segi akhlak dan peribadi. Kita akan menjadi terhormat dan lebih dihormati. Walaupun cerita-cerita legenda seperti Si Tanggang dan Malim Kundang mengingatkan kita kisah seorang anak yang derhaka sudah lama berlaku, namun tidak ada ruginya untuk mengimbasnya kembali untuk dijadikan sebagai sempadan dan teladan.

 1.         Cara terbaik menunjukkan rasa hormat kita kepada
             orang tua ialah kita perlu sentiasa....
            A.  memberi duit yang secukupnya atau berlebihan.

            B.  menghubungi dan memahami perasaan mereka.

            C.  membelikan apa-apa sahaja barang seperti telefon.

            D.  membawa mereka ke tempat yang belum pernah
                 dilawati.

 2.         Apakah perkara utama yang diingini oleh orang tua
             daripada anak-anak mereka?

             A.  perhatian dan kasih sayang                       

             B.  harta dan kemewahan hidup

             C.  cucu dan keturunan yang ramai

             D.  membayar semua perbelanjaan

 3.         Pernyataan yang berikut adalah benar tentang sikap
             orang tua, kecuali

            A.  mudah berasa bangga jika diberi perhatian

            B.  tidak mudah melupakan sesuatu perkara jika
                 tersentuh

            C.  mudah berkecil hati jika anak tidak memberi mereka
                  wang

            D.  perasaan mereka mudah tersentuh meskipun pada
                  perkara kecil

4.         Perkataan wang saku bermaksud..................

             A.  duit belanja                              

            B.  upah kerja

           C.  gaji bulanan

           D.  duit simpanan

 5.         Pada pendapat kamu, apakah yang menyebabkan
             cerita  Si Tanggang perlu dijadikan pengajaran?

           A.  Balasan yang diterima dalam cerita tersebut amat
                 mengerikan.

            B.  Pada masa kini sudah terlalu ramai yang bersikap
                 seperti Tanggang.

            C.  Agar kaum ibu jangan terlalu mudah menyumpah
                  anak-anak mereka.

            D.  Cerita tersebut menunjukkan betapa pentingnya
                  menghormati ibu kita.




LATIHAN KEFAHAMAN 1

PANDUAN UMUM MENJAWAB SOALAN PEMAHAMAN
1.  Baca dan fahami kehendak soalan.  Patuhilah arahan itu
     dengan sepenuhnya.
2.  Kemudian, baca petikan pemahaman dengan teliti
     sekurang-kurangnya dua   kali.  Fahami isi-isi penting yang
     terdapat dalam petikan itu.
3.  Pada pembacaan kali kedua, gariskan isi-isi utama,
     khususnya yang ada kaitan dengan soalan.
4.  Bacalah keseluruhan petikan.  Jangan perenggan-
     perenggan tertentu sahaja.
5.  Pastikan anda tidak terkeliru oleh soalan yang mempunyai
     perkataan kecuali, melainkan, dan sebagainya.
6.  Cari kata kunci yang dapat dijadikan panduan apabila
     mencari jawapan daripada petikan yang dikemukakan.
7.  Setiap soalan yang dikemukakan adalah berdasarkan
     petikan.  Oleh itu, jawapan bagi soalan yang berkaitan
     dengan maksud kata atau rangkaian kata-kata
     terikat oleh konteks keseluruhan ayat atau
       petikan, bukannya berdasarkan pandangan calon
     sendiri.
8.  Selepas menandai/menjawab semua soalan, semaklah
     jawapan- jawapan anda itu bagi menghindari kesilapan.

Baca petikan cerita di bawah, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

                 Pada suatu hari, seekor gagak terbang melayang-layang di udara sambil memerhati ke bawah. Sebenarnya gagak itu sangat kelaparan kerana telah beberapa hari  tidak menemukan sebarang makanan untuk mengalas perutnya. Tanpa putus asa, gagak itu terus terbang untuk mencari makanan.
                Ketika sedang terbang, tiba-tiba gagak itu ternampak seketul daging di satu kawasan yang lapang. Tanpa berlengah, gagak itu terbang menuju ke arah ketulan daging itu dan sepantas kilat menyambar daging itu menggunakan kakinya. Gagak terus terbang dan hinggap di atas sebatang dahan pokok.  
               Sedang gagak hendak meratah daging itu, tiba-tiba ia  ternampak seekor burung hantu terbang berhampiran dengannya dan kakinya terdapat seekor tikus yang agak besar.  Gagak teringin untuk mendapatkan tikus yang besar juga. Lalu, gagak bertanya kepada burung hantu itu di mana burung hantu mendapatkan tikus yang besar itu. Burung hantu hanya mendiamkan diri. Gagak mencengkam daging yang diperolehnya lalu terbang mengikut arah burung hantu itu terbang.
                Burung hantu terbang dengan pantas. Gagak sangat kepenatan dan kelaparan. Gagak tidak berdaya untuk terbang lagi. Tanpa disedari, genggaman kakinya semakin lemah dan daging yang dicengkamnya telah terlepas lalu jatuh ke tanah. Tiba-tiba, datang seekor helang yang besar lalu menyambar daging yang terjatuh itu. Gagak cuba merebut daging itu, tetapi ia sudah tidak berdaya untuk melawan helang yang gagah itu. Akhirnya, gagak berlalu dari situ dalam keadaan penat dan lapar tanpa sebarang makanan.
1. Mengapakah gagak terbang sambil memerhatikan ke
    bawah?
   A.  Gagak sedang mencari kawan-kawannya.
   B.  Gagak sedang mencari air untuk diminum.        
   C.  Gagak sedang mencari makanan untuk dimakan.   
   D.  Gagak sedang mencari anak-anaknya yang hilang.

2. Bagaimanakah caranya gagak mendapatkan daging itu?
    A.  Gagak mematuk daging menggunakan paruhnya. 
    B.  Gagak mencengkam daging itu menggunakan
         kakinya.   
    C.  Gagak merebut daging itu daripada burung hantu
         dan helang 
    D.  Gagak mengunyah daging itu dan menyimpannya di
          dalam mulut.

3. Pada pendapat kamu, mengapakah gagak mengikuti
    burung hantu?  
    A.  Untuk merebut tikus besar yang ditangkap oleh
          burung hantu. 
    B.  Untuk mengetahui tempat burung hantu itu
          memperoleh tikus besar.
    C.  Untuk mempelawa burung hantu makan daging
           yang diperoleh gagak.                   
     D.  Untuk menggantikan daging itu dengan tikus yang
           ditangkap burung hantu. 
                
 4. Antara berikut, yang manakah bukan sikap gagak dalam
     petikan di atas?  
           A.  sabar     
           B.   berani        
          C.  tamak        
           D.  baik hati                    
            
 5. Apakah peribahasa yang paling sesuai dengan nasib
     yang menimpa gagak itu?
     A.  Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat
           sagunya   
      B.  Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga.        
     C.  Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.         
     D.  Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.

KARANGAN AUTOBIOGRAFI 2


Aku Sebuah Kereta
Kategori:Penulisan UPSR

                                 
            Aku sebuah kereta buatan Malaysia. Aku bernama Proton Gen – 2. Aku dilahirkan dan dipasang di sebuah kilang kereta di Shah Alam, Selangor. Tubuhku yang berwarna biru metalik diperbuat daripada pelbagai bahan seperti besi, keluli, getah dan cermin antirelai. Aku turut dilengkapi dengan tali pinggang, beg udara dan sistem penggera untuk tujuan keselamatan.
            Setelah lulus pandu uji, aku dihantar ke bilik pameran Proton di Bukit Rahman Putra. Aku dipamerkan bersama kereta – kereta keluaran Proton yang lain seperti Satria, Saga dan Savvy. Selang beberapa minggu, seorang perempuan bernama Tania tertarik denganku. Suaminya membeliku sebagai hadiah ulang tahun kelahirannya.
            Bermulalah kehidupanku yang baru. Kendatipun sedih kerana terpaksa berpisah dengan rakan – rakanku di bilik pameran, aku bertekad akan berkhidmat dengan cemerlang untuk tuanku. Tania menggunakan aku untuk ke pejabat, ke pusat membeli belah dan ketika membuat urusan harian yang lain.
            Tuan aku sangat sayang akan diriku. Aku dijaga ibarat
menatang minyak yang penuh. Tania akan memanduku dengan cermat dan menjagaku dengan rapi. Malah aku dimandikan seminggu sekali dengan syampu bermutu tinggi.
            Malang tidak berbau, suatu hari aku dan Tania terlibat dengan sebuah kemalangan jalan raya. Sebuah kereta terbabas dan merempuhku. Tania gagal mengawal sterengku lalu melanggar pembahagi jalan. Aku menjerit kesakitan. Badanku kemek teruk manakala enjinku rosak. Aku ditarik menggunakan sebuah kereta tunda ke bengkel untuk dibaiki.
            Tania dikejarkan ke hospital. Mujurlah tuanku tidak cedera parah namun Tania mengalami trauma. Tuanku takut untuk memandu lagi kerana bimbang akan terlibat dengan kemalangan lagi. Kini, Tania lebih gemar menaiki teksi untuk ke mana – mana. Aku tidak lagi dihampirinya. Aku berasa kecil hati kerana dibiarkan begitu sahaja di garaj kereta. Perasaanku terguris laksana kaca terhempas ke batu.Aku berdoa agar satu hari, Tania akan memanduku semula.